Tuesday, December 20, 2011

TEKNIK PERNAFASAN KETIKA PROSES BERSALIN




Teknik Pernafasan Peringkat Pertama

Teknik Pernafasan Peringkat Pertama semasa permulaan dan penghujung suatu kontraksi, anda dikehendaki bernafas secara dalam dan tetap. Masuk melalui hidung dan keluar melalui mulut. Ketika kontraksi berada dikemuncak, cuba pernafasan yang lebih ringan dan cetek. Kedua-dua pernafasan sepatutnya melalui mulut. Jangan lakukan terlalu lama bagi mengelakkan anda berasa pening (hyperventilation).



Teknik pernafasan peringkat Transisi

Sekiranya anda berasa hendak meneran terlalu awal, sebutlah “huf, huf, tuip” kepada diri anda sendiri sambil mengambil dua pernafasan masuk dan keluar yang pendek, diikuti satu hembusan yang panjang. Apabila desakan untuk meneran hilang, hembuskan keluar nafas yang lembut dan tetap.



Teknik pernafasan peringkat kedua

Ketika hendak meneran (ia mungkin berlaku beberapa kali setiap satu kontraksi), tarik nafas yang dalam dan bertahan untuk satu masa yang singkat ketika anda menekan ke bawah. Adalah penting untuk melakukan gerakan dan pernafasan mengikut kehendak badan anda. Ketika meneran, ambil beberapa nafas tenang yang dalam. Apabila kontraksi reda, rehatkan diri perlahan-lahan.



Teknik Meneran

Sebelum ini, mungkin kita menjangkakan hanya ibu yang terpaksa bekerja keras mengerah sepenuh tenaga untuk memastikan bayinya selamat dilahirkan. Sebenarnya tanggapan ini adalah salah sama sekali. Semasa peringkat pertama kelahiran, bayi dalam kandungan akan berputar untuk mencari jalan kelahiran. Manakala peringkat kedua kelahiran pula uterus akan mula menolak bayi keluar begitu juga si ibu. Dalam pada itu, bayi juga menolak dirinya keluar dari jalan kelahiran. Oleh itu memilih kaedah meneran yangs esuai dapat membantu melancarkan proses kelahiran. Ikuti beberapa teknik meneran yang lazim digunakan dalam bilik bersalin.



“Overwhelming Urge“

Teknik meneran ini merupakan teknik yang tidak terkawal. Ada kalanya anda tidak perlu meneran apabila berlakunya kontraksi kerana pembukaan rahim masih belum terbuka dengan sempurna (10cm). Namun, setiap kali berlakunya kontraksi anda mungkin tidak mampu mengawal keinginan untuk terus meneran. Sekiranya tidak mahu berlaku sebarang koyakan, meneranlah sekuat hati setelah mendapat keizinan dari doktor. Tarikan graviti pada posisi semula jadi mungkin akan membantu ibu melahirkan bayi. Namun ada juga kemungkinan graviti tidak mampu meningkatkan tekanan atau desakan sekiranya kelahiran berlaku terlalu cepat.



“so-so urge“

Si ibu mungkin mempunyai keinginan untuk meneran setiap kali datangnya kontraksi atau ketika kontraksi berada di kemuncak. Bagaimanapun desakan ini mungkin juga berlaku pada peringkat awal fasa kedua yang mana bayi masih belum mencecah saraf-saraf yang menghantar isyarat agar si ibu mula meneran dengan kuat (overwhelming urge).



“No Urge“

Hampir sama seperti so-so urge, kali ini ibu tidak mengalami desakan, oleh itu posisi yang tepat semasa bersalin dan masa adalah jalan terbaik untuk membantu ibu-ibu yang menghadapi masalah meneran semasa proses kelahiran.



Teknik spontan

Kaedahnya amat mudah, si ibu hanya mengikut gerak bahasa tubuhnya dan akan meneran jika dia merasakan dia perlu untuk berbuat demikian. Ibu-ibu yang mempraktikan kedah ini biasanya tidak akan menahan nafas lebih dari 6 saat yang sekali gus menyalurkan lebih banyak oksigen kepada bayinya. Istimewanya kaedah ini banyak membantu mengurangkan tekanan pada ibu dan bayi, malah ia membantu menyingkatkan proses kelahiran. Secara umumnya, ibu yang mengikut naluri sebelum meneran harus menahan nafas untuk satu tempoh masa yang singkat dan merehatkan tubuh badan. Ingat, bahagian uterus akan membantu anda meneran walaupun anda tidak berbuat apa-apa.



Teknik Purple Pushing

Mengapa ia dipanggil Purple Pushing, ia kerana wajah ibu digambarkan seolah hampir kebiruan dengan mata yang besar cuba untuk menahan nafas sambil meneran hingga kiraan 10 berakhir. Teknik ini semakin popular, ia banyak membantu para ibu yang tidak mampu ‘mentafsir’ bahasa tubuh agar meneran dengan efektif. Teknik ini bermula dengan menarik nafas dalam-dalam, melepaskannya, menarik nafas semula dan tahan nafas tersebut, bongkokkan sedikit badan dan meneran seiring dengan kontraksi. Sementara itu, suami atau jururawat akan menjarit “PUSH!” dan mengira hingga angka 10 sebelum anda melepaskan semula nafas. Ulang teknik yang sama sehingga bayi selamat dilahirkan.



Teknik Laboring Down

Kaedah ini pula popular digunakan oleh doktor dan jururawat terhadap ibu-ibu yang disuntik epidural. Caranya mudah sahaja, biarkan tubuh meneran secara semulajadi tanpa perlu tolakan yang aktif dari anda. Biarkan sehingga kepala bayi mula kelihatan. Cara ini adalah lebih baik dan kurang meletihkan, malah sesuai dipraktikan oleh si ibu yang tidak mampu meneran.

Sumber : majalah PA&MA

Friday, December 16, 2011

Teknik nasihat Luqman Al-Hakim

 
ANAK-anak adalah kurniaan Allah yang paling berharga dan ibu bapa sewajarnya memelihara amanah mendidik mereka dengan kaedah terbaik. Antara kaedah yang paling berkesan dan berhemah dalam melaksanakan asuhan bimbingan kepada anak-anak ialah melalui pendekatan memberikan nasihat. 

Jadikan kaedah yang diamalkan oleh Luqman Al-Hakim sebagai pedoman. Banyak sekali bentuk nasihat yang disampaikan Luqman kepada anaknya. Cara penyampaian atau metodologi pengajaran yang diaplikasikan Luqman begitu halus dan penuh dengan amalan psikologi. Kita ambil beberapa contoh bagaimana Luqman menasihati anaknya.
Misalnya, kata Luqman kepada anaknya, “Wahai anakku, sesungguhnya aku kesal dengan percakapanku, tetapi aku tidak pernah menyesal kerana berdiam diri.”

Cuba perhatikan dengan serius bentuk nasihat yang diluahkan Luqman kepada anaknya. Luqman memberi nasihat dengan menjadikan diri sendiri sebagai bahan contoh subjek nasihat yang hendak disampaikan.

Inilah kaedah terbaik sebenarnya bagaimana memberikan nasihat kepada anak-anak. Bukannya dengan menyampaikan nasihat dengan mengambil contoh pihak lain yang sukar dijangkau anak-anak kita.

Pada zaman moden ini, kaedah diguna pakai Luqman itu adalah salah satu kaedah dalam sesi kaunseling. Justeru, Luqman boleh kita ibaratkan sebagai perintis kepada teori dan praktikal kaunseling. Dengan cara sebagaimana dibuat Luqman seperti tadi, pasti perhatian anak-anak akan lebih terserap.

Aspek bersosial juga diterapkan Luqman menerusi nasihat kepada anaknya. Misalnya, kata Luqman, “Wahai anakku, jadilah engkau orang bersikap lemah lembut dengan jiran, hampir dengan kebaikan, banyak berfikir, kurang bercakap melainkan dalam mengatakan yang baik, banyak menangis dan kurang ketawa. Janganlah engkau suka bergurau-senda, membuat bising tetapi diamlah dalam berfikir dan apabila engkau bercakap, maka bercakaplah dengan kata-kata berhikmah.”

Tentu kita kagum dengan kaedah diamalkan Luqman terhadap anaknya dalam menyampaikan pendidikan. Adakah kita pernah membuat seperti Luqman itu? Atau kita hanya serahkan kepada guru untuk mendidiknya? Atau apabila anak-anak pulang dari sekolah, kita hanya pandai membebel dan memarahi anak?

Cuba kita telusuri nasihat kedua yang dipetik sebentar tadi. Luqman menggunakan bentuk nasihat untuk menyampaikan didikan bercorak ringkas tetapi berisi padat dengan ajaran agama dan norma masyarakat. Diadunnya dalam nasihat rangkuman isi yang hendak disampaikan. Didahului dengan didikan hidup berjiran secara baik dan harmoni. Kemudian beliau melorekkan pula elemen pembentukan sahsiah peribadi dari segi pengurusan komunikasi berkesan, iaitu bagaimana memanfaatkan akal untuk berfikir dan bagaimana mempergunakan lidah dengan berhemah dan bermanfaat.

Aspek seterusnya yang turut difokuskan Luqman ialah bagaimana mencorakkan pergaulan yang baik. Kata Luqman, “Wahai anakku. Janganlah engkau duduk bergaul dengan golongan yang tidak mengingati nama Allah. Kerana sekiranya engkau seorang yang jahil, maka mereka akan menambahkan lagi kejahilanmu.”

“Dan sekiranya engkau seorang yang alim, maka ilmu- mu itu tidak memberikan sedikit manfaat pun kepadamu. Bahkan, sekiranya laknat dan kemurkaan Allah diturunkan ke atas mereka, nescaya engkau juga akan turut berkongsi bersama-sama mereka.”

Bacalah berkali-kali nasihat Luqman itu, maka kita dapat mengesan suatu pengajaran yang berkualiti tinggi. Bukan senang untuk kita terapkan bentuk nasihat sebegini, tetapi percayalah seandainya secara beransur-ansur diamalkan, tiada apapun yang mustahil. Kita mesti mencuba kaedah Luqman itu.

Seharusnya kita sebagai ibu bapa menjadikan nasihat yang berisikan pedoman berasaskan agama dijadikan tunjang dalam pendidikan anak-anak. La Rouchefoucauld, seorang tokoh pendidikan Barat pernah mengatakan, “Kita memberi nasihat, tetapi kita tidak dapat memberikan kebijaksanaan bagi dimanfaatkan.”

Maksudnya kita seharusnya menjadikan bentuk isi nasihat itu sesuatu yang padat dengan subjek yang hendak kita sampaikan. Betul dan tepat seperti maksud peribahasa Afrika, “Nasihat itu aneh. Apabila diterima, ia menginap, apabila tidak diterima ia pulang pada ketika itu juga.”

Maknanya kita harus memuatkan nasihat yang mudah ‘dihadam’ oleh pemikiran anak-anak, barulah nasihat itu meninggalkan kesan positif.

Satu lagi pendekatan digunakan Luqman ialah penggunaan elemen metafora atau perumpamaan bermakna dalam menjadikan bentuk nasihat lebih lunak dan bermanfaat. Gabungan jalin antara metafora dan perumpamaan jelas banyak digunakannya. Inilah daya intelektual tahap tinggi sebenarnya.

Misalnya nasihat beliau ini. Kata Luqman, “Wahai anakku. Sesungguhnya dunia ini lautan yang terbentang luas. Ramai manusia yang karam di dalamnya. Oleh itu, sekiranya engkau mampu menjadikan kapalmu itu daripada keimanan terhadap Allah, persediaanmu itu melalui tawakal dan muatanmu itu pula adalah daripada ketakwaan dan sekiranya engkau karam, maka ia adalah kerana dosa-dosamu.” Indah dan penuh makna nasihat Luqman ini.

Luqman sebenarnya ingin mengajak anaknya memahami erti kehidupan di dunia dengan kepatuhan beragama yang kukuh. Beliau juga membimbing anaknya bagaimana menyusuri alur kehidupan iaitu dengan iman dan takwa serta menjauhi perbuatan dosa yang akan mengundang mala petaka. Apa yang diperkatakan Luqman itu disepakati Imam Ghazali yang katanya, “Menanamkan iman dalam diri anak merupakan kewajipan orang tua. Anak-anak akan membesar dalam suasana cukup peka dan sensitif dengan Tuhan. Apabila ini sudah ada, dengan sendirinya dia akan malu dan takut untuk membuat dosa.”

Sesungguhnya melalui kaedah nasihat jiwa anak-anak akan terserap dengan asuhan sempurna dan membentuk sahsiah peribadi yang unggul. Ibnu Sina mengatakan, “Pendidikan itu berlaku dengan cara membiasakan iaitu membiasakan anak membuat nilai-nilai dan norma-norma yang baik dalam jangka waktu yang lama sehingga dia biasa melakukan perbuatan tersebut.”

Jadi, satu kaedah pengasuhan terhadap anak-anak yang berkesan ialah dengan teknik nasihat. Insya-Allah anak-anak kita akan membesar dalam ruang yang menepati kehendak agama dan masyarakat.

Post yang panjang, tapi sangat bermanfaat...

From:: Ibu to be.....